MADRID: Satu flotila baharu yang melibatkan aktivis antarabangsa, memulakan misi ke Semenanjung Gaza dari sebuah pelabuhan di Barcelona, Sepanyol sebagai usaha memecah sekatan yang dikenakan oleh rejim Israel ke atas wilayah Palestin itu. Dua buah kapal yang menyertai misi tersebut, Amal dan Zaytouna, membawa seramai 11 aktistis wanita setiap kapal, mula belayar pada Rabu di bawah misi "Bot Wanita ke Gaza". Antara aktivis yang terlibat dalam misi tersebut termasuk anggota Parlimen Kesatuan Eropah dari Sweden, Malin Bjork dan wakil Malaysia, Dr. Fouzia Hassan. Jurucakap misi tersebut, Zohar Chamberlain Regev berkata, mereka meletakkan sasaran untuk tiba di Gaza pada awal Oktober ini. "Kami membawa bekalan makanan dan perubatan untuk diberikan kepada penduduk Gaza sebaik tiba di wilayah itu. "Selain bekalan, kami membawa mesej yang lebih penting iaitu harapan dan solidariti seperti yang diimpikan oleh penduduk Gaza," katanya. Zohar juga meletakkan harapan yang tinggi agar flotila tersebut tidak dihalang oleh tentera laut Israel dan tiba dengan selamat. "Kami sedar misi ini bukan ancaman kepada Israel. "Kami tidak menuju ke pelabuhan Israel dan mereka tidak mempunyai sebab untuk menghalang misi ini," katanya. Sekatan ke atas Gaza dikuatkuasakan sejak 2007 apabila pergerakan Hamas mengambil-alinh pemerintahan wilayah tersebut. Kali terakhir misi Bot Wanita ke Gaza dilakukan pada 2015 tetapi dihalang oleh tentera Israel yang bertindak merampas kapal yang mereka naiki. Pada 2010, rejim Zionis membangkitkan kemarahan antarabangsa apabila menyerang flotila dari Turki sehingga menyebabkan 10 aktivis terbunuh.