JAKARTA: Ford Motor Indonesia, yang menutup operasi di negara tersebut pada awal Januari tahun ini, kini sedang disiasat oleh Kementerian Kewangan Indonesia berikutan penemuan terbaru yang tidak kena dalam dalam laporan akhir Ford Motor berkenaan cukai mewah yang dibayar. Akhbar tempatan berbahasa Inggeris The Jakarta Post, memetik jurucakap direktorat jenderal kementerian itu bagi kastam dan eksais Denny Surjantoro menyatakan berdasarkan penemuan tersebut, Ford Motor Indonesia hanya melaporkan cukai mewah dibayar bagi kereta model Everest varian 10 penumpangnya, walaupun syarikat tersebut juga mengimport varian tujuh penumpang model itu ke negara tersebut. Beliau berkata siasatan masih dijalankan walaupun pengeluar kereta Amerika tersebut telah menutup operasinya di negara itu. Di bawah peraturan cukai barang mewah kerajaan 2006, kerajaan Indonesia mengenakan cukai 20 peratus ke atas kereta tujuh penumpang dan cukai 10 peratus ke atas kereta model jenis 10-15 penumpang. Pada Januari, Ford mengumumkan ia akan menutup operasinya di Indonesia dan Jepun, memandangkan bahagian pasarannya yang kecil di kedua-dua negara itu.