suria

Kabin Dipenuhi Asap, Enjin Pesawat Jetstar Dimatikan

SYDNEY: Seorang juruterbang Jetstar bertindak mematikan enjin dan mengalihkan penerbangan ke Brisbane apabila asap memenuhi kabin penumpang yang dalam perjalanan dari Sydney ke Cairns.

Penumpang menyifatkan kejadian itu sebagai 'menakutkan'.

Airbus A320 dalam perjalanan ke bandar Queensland utara pada petang Khamis ketika juruterbang mengambil tindakan untuk menanganinya, di mana syarikat penerbangan itu berkata ia adalah 'isu teknikal dengan salah satu enjinnya'.

"Kapten berkenaan telah memilih untuk mematikan salah satu enjin sebagai langkah berjaga-jaga dan mengalihkan pesawat ke Brisbane," kata jurucakap syarikat penerbangan tambang murah Australia itu.

"Jurutera sedang mengkaji punca kejadian.

"Walaupun keadaan seperti ini jarang-jarang berlaku, anak-anak kapal kami telah dilatih untuk berurusan dengan situasi seperti ini dan mereka mengendalikan situasi dengan profesional."

Video yang dirakam oleh seorang penumpang di atas kapal kapal terbang dan disiarkan oleh ABC, menunjukkan asap dalam kabin.

"Saat yang paling menakutkan dalam hidup saya," penumpang Aundra Thompson menulis di Facebook.

"Saya telah berada dalam penerbangan yang terbakar dan kabin dipenuhi dengan asap."

Seorang lagi penumpang Wendy Perkins memberitahu Perbadanan Penyiaran Australia bahawa dia mendengar letupan kuat dan kabin dipenuhi asap kira-kira sejam dalam penerbangan yang sepatutnya memakan masa selama tiga jam.

"Dalam masa beberapa saat asap datang dari bawah tempat duduk saya, di bawah kaki saya dan naik sehingga ke muka saya," katanya.

Jetstar, yang dimiliki oleh Qantas, mempertikaikan dakwaan ini, dengan mendakwa asap hanya muncul selepas pesawat itu mendarat dengan selamat di Brisbane.

"Asap yang dilihat dalam video itu berlaku apabila pesawat itu mendarat dengan selamat di Brisbane dan tidak lama sebelum penumpang diarahkan keluar dari pesawat," katanya.

"Asap itu mungkin masuk ke dalam kabin melalui unit penyaman udara."

Bagaimanapun tiada penumpang memerlukan pemerhatian perubatan dan mereka dipindahkan ke pesawat lain, lewat petang Khamis.

Jetstar, enjin pesawat, A320

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain