suria

Tokoh Dunia Kumpul Dana Buru Makhluk Asing

SYDNEY: Tiga tokoh terkemuka dalam bidang masing-masing dikatakan telah mengumpul dana mencecah AS$100 juta (RM400 juta) bertujuan untuk mengesan makhluk asing di angkasa lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif Facebook, Mark Zuckerberg bersama bilionair Rusia, Yuri Milner dan genius fizik, Stephen Hawking dilaporkan Mail Online memperuntukan dana untuk meneroka planet yang dikenali sebagai Proxima b.

Proxima b dikatakan sebuah planet yang hampir menyerupai Bumi dan terletap pada jarak empat tahun cahaya dengan Bumi.

Berdasarkan kajian ia adalah planet berbatu tetapi dengan suhu antara -90 darjah Celsius hingga 30 darjah Celsius, planet itu berkemungkinan mengandungi air dan berpotensi mempunyai hidupan.

Dana yang dikumpul untuk projek yang dikenali sebagai Breakthrough Listen itu akan menggunakan teleskop paling berkuasa di dunia bagi mendengar mesej daripada makhluk asing yang mungkin berada di Proxima b.

"Balai Cerap Parkes di New South Wales akan digunakan saintis bagi mengumpul data melalui signal dari ‘Bumi 2.0’ itu selama 10 tahun.

“Melalui projek ini, kita menuju matlamat untuk melancarkan kapal angkasa kecil ke Alpha Centauri. Sekarang kita mempunyai sasaran untuk menjadikan misi ini lebih jelas,” kata Milner.

Daripada ribuan planet yang dikaji oleh saintis sebelum ini, ahli astronomi yang menemui Proxima b bulan lalu mendapati planet itu hampir menyerupai Bumi dan berada pada jarak yang boleh dikunjungi oleh manusia.

Hawking pula berkata, mereka perlu mencari makhluk asing dan penempatan mereka terlebih dulu sebelum mahkluk ber­kenaan menemui manusia.

Mark Zuckerberg, Proxima b

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain