SEOUL: Syarikat elektronik terkemuka Korea Selatan, Samsung meminta semua pengguna produk Galaxy Note 7 untuk memadamkan telefon pintar itu dan menghentikan penjualan gajet tersebut serta-merta. Samsung menerusi kenyataannya pada Selasa berkata, langkah itu bagi memberi ruang kepada pihaknya untuk menjalankan siasatan terhadap kes gajet tersebut terbakar. Selain itu, Samsung meminta semua syarikat telekomunikasi di seluruh dunia untuk menghentikan penjualan Galaxy Note 7 dan tidak melakukan pertukaran peranti memandangan masalah yang sama masih berulang. "Pengguna yang memiliki Galaxy Note 7 yang asal atau yang telah diganti perlu memadamkan peralatan tersebut dan tidak menggunakannya lagi," jelas Samsung. Keputusan syarikat tersebut menarik semula penjualan Galaxy Note 7 buat kali kedua dalam tempoh kurang dua bulan bukan sahaja menimbulkan keraguan terhadap kualiti produk Samsung tetapi memberi kesan terhadap kewangan dan reputasi firma berkenaan.