suria

Keadaan Kesihatan Raja Thailand Tidak Berubah

Rakyat Thai berkumpul di luar hospital mendoakan agar Raja Bhumibol Adulyadej kembali sihat.

BANGKOK: Keadaan kesihatan Raja Thailand Raja Bhumibol Adulyadej 'masih belum stabil', kata pihak istana.

Susulan pengumuman itu orang ramai berkumpul di luar hospital mendoakan agar baginda kembali sihat.

Bhumibol, 88, mengalami masalah berkaitan buah pinggang dan bernafas menggunakan alat bantuan pernafasan.

Dalam kenyataan terbaharu pihak istana yang dikeluarkan pada Rabu, ujian darah yang dilakukan semalam (Selasa) menunjukkan hati baginda tidak berfungsi seperti biasa.

Malah tahap asid urik dalam darah baginda didapati meningkat.

Menurut kenyataan itu lagi, doktor menggunakan antibiotik untuk merawat jangkitan dan menggunakan alat bantuan pernafasan serta Terapi Penggantian Renal Berterusan (CRRT) untuk menurunkan tahap asid.

"Keadaan baginda secara keseluruhan masih tidak berubah," kata kenyataan itu.

Baginda adalah raja paling lama menduduki takhta di dunia dan amat disayangi rakyat Thailand.

Baginda dilihat sebagai tokoh penyatuan di negara yang sering bergolak kerana konflik politik. 

Artikel Sebelum

Artikel Lain