NEW DELHI: Seorang remaja India digelar sebagai "Kepak Besi" apabila mempamerkan kekuatan dirinya menarik dua buah kereta dengan hanya menggunakan kepak bahunya. Abhishek Choubey, 18, dari Madhya Pradesh, tengah India, mendakwa hanya dia memiliki bahu yang kuat untuk melengkapkan cabaran itu dan mahu mencipta rekod dunia. Dalam cabaran itu, Choubey menarik dua buah kereta itu dengan menggunakan tali yang diikat pada sebatang kayu yang dikepit kedua-dua kepak bahunya. Menurut Choubey, pada mulanya dia menarik kereta seberat 1.049 tan sejauh 27.5 meter sebelum menambah lagi sebuah kereta dengan jarak yang sama. Jelasnya, dia mula menarik objek berat menggunakan kepak bahu sejak usia lapan tahun selepas menyedari anggota badannya itu memiliki bentuk yang berbeza berbanding rakannya yang lain. "Saya tahu ramai orang berkebolehan menarik kenderaan berat menggunakan telinga atau rambut. "Tetapi saya merupakan satu-satunya individu yang boleh menarik dua buah kereta serentak menggunakan kepak bahu," katanya seperti dilaporkan portal Mail Online. Seorang rakan Choubey cuba melakukan perkara yang sama dengan menarik sebuah kerusi kecil tetapi gagal dan mengalami kecederaan. Bapa Choudey, Avdesh berharap bakat anaknya akan tersenarai dalam rekod dunia Guinness. "Jika dia mahu menarik kapal terbang, kami akan menyokongnya. "Kami tahu aksi itu tidak berbahaya kerana kami sering berunding dengan doktor terlebih dahulu," katanya.