SERAMAI 26 cedera selepas sebuah bas dua tingkat merempuh jejambat kereta api di London. Lima daripada mereka yang cedera dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Rempuhan pada kira-kira pukul 4 pagi Sabtu (11 pagi Sabtu waktu Malaysia) di Tottenham, utara London mengakibat bumbung bas berkenaan hancur. Ketika kejadian bas berkenaan disewakan untuk majlis persendirian. Pasukan menyelamat mengeluarkan tiga penumpang yang terperangkap di bahagian atas bas. Polis berkata, seorang mangsa masih berada di hospital tetapi kecederaannya dipercayai tidak begitu serius. Seorang jurucakap Pasukan Bomba London dalam satu kenyataan berkata: "Kru membantu mengeluarkan tiga mangsa yang terperangkap di bahagian atas bas dua tingkat merah. "Lima penumpang dibawa ke hospital manakala 21 lagi dirawat di tempat kejadian. "Kru dari balai bomba Tottenham dan Edmonton tiba di tempat kejadian bersama Khidmat Ambulans London, Polis Metropolitan London dan Rangkaian Rel," katanya. - Mail Online