suria

2,000 Pengamal Perubatan Indonesia Sertai Demonstrasi Aman

SEBAHAGIAN 2,000 pengamal perubatan yang mengadakan bantahan secara aman di Jakarta pada 24 Oktober 2016. - Ihsan Liputan3.com

JAKARTA: Lebih 2,000 pengamal perubatan menyertai demonstrasi aman sempena Hari Doktor Nasional 2016 sebagai membantah sistem kesihatan dan pengajian perubatan di Indonesia pada Isnin.

Demonstrasi anjuran Ikatan Doktor Indonesia (IDI) itu berlangsung kira-kira empat jam bermula pukul 8 pagi di hadapan Istana Presiden di sini.

Media-media dalam talian memetik Setiausaha Agung IDI Dr Adib Khumaidi sebagai berkata, demonstrasi tersebut adalah bagi meluahkan rasa tidak puas hati pengamal perubatan terhadap sistem kesihatan di negara itu kerana banyak campur tangan kerajaan.

Dr Adib berkata pihaknya menolak cadangan kerajaan yang mahu mewajibkan semua pengamal perubatan untuk mengikuti kursus selama dua tahun sebelum dilantik sebagai Doktor Layanan Primer (DLP).

Beliau berkata arahan berkenaan dianggap seolah-olah kerajaan memandang rendah dan meragui kompetensi doktor umum di negara itu.

Dr Adib berkata DLP tidak sepatutnya diwujudkan kerana kerajaan sendiri tidak membekalkan sarana dan prasarana yang lengkap terutamanya di daerah terpencil.

Katanya terdapat hospital di luar bandar yang belum cukup kelengkapan perubatan dan disebabkan itu masalah yang dihadapi bukanlah layanan doktor, sebaliknya kerajaan harus berusaha meningkatkan kemudahan prasarana perubatan.

Beliau berkata selain itu, pihaknya juga mahu kerajaan mengurangkan kos pengajian dalam bidang perubatan supaya golongan rakyat miskin juga berpeluang menjadi doktor jika mereka berkelayakan untuk mengikuti kursus perubatan di universiti tempatan.

"Jangan sampai pendidikan kedoktoran cenderung menjadi pendidikan yang eksklusif serta mahal dan hanya menjadi milik orang kaya," katanya. - BERNAMA

Indonesia, Demonstrasi

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain