BANGKOK: Pihak berkuasa Thai telah membatalkan 200 alamat web atau URL (Uniform Resource Locators) yang memaparkan kandungan tidak wajar termasuk yang dianggap menghina keluarga diraja Thai. Timbalan Perdana Menteri ACM Prajin Janthong yang juga bertindak sebagai pemangku menteri Ekonomi Digital berkata, tindakan diambil di bawah Perintah No.26/2014 Majlis Keamanan dan Ketenteraman Nasional (NCPO) serta Akta Jenayah Komputer 2007. "Bulan lepas pihak berkuasa mengesan 1,300 URL yang tidak wajar, dengan 1,200 dari jumlah URL dikesan selepas kemangkatan Raja Bhumibol pada 13 Okt, hingga penghujung Oktober," katanya kepada media. Beliau berkata kerajaan mendapat kerjasama baik daripada Google, You Tube, Line dan Facebook dalam tindakan menghapuskan kandungan tidak wajar itu. Minggu lepas, Polis Thai mengumumkan mereka telah menahan beberapa orang di bawah Undang-undang Lese Majeste serta memohon kerjasama beberapa negara untuk menghantar pulang rakyat Thai yang meninggalkan negara untuk mengelakkan diri dari undang-undang berkenaan. Undang-undang itu melindungi anggota paling kanan keluarga diraja Thai dari sebarang penghinaan atau ancaman. - BERNAMA