suria

Murid Sekolah Rendah Ramal Bakal Presiden AS

Murid Sekolah Rendah Benjamin Franklin selesai "mengundi" dalam Pilihan Raya Presiden AS di sekolah mereka. - Ihsan Facebook Benjamin Franklin Elementary School

NEW YORK: Sebuah sekolah rendah di Yorktown Heights di sini, menjadi tumpuan penduduk Amerika Syarikat apabila mengeluarkan ramalan "keputusan" Pilihan Raya Presiden walaupun proses pengundian masih belum bermula.

Murid-murid Sekolah Rendah Benjamin Franklin mempraktikkan amalan pengundian setiap kali Pilihan Raya Presiden AS berlangsung sejak tahun 1968.

Menariknya, sepanjang tempoh 48 tahun itu, pilihan yang dibuat oleh murid sekolah tersebut ternyata tepat.

Setiap empat tahun iaitu beberapa hari sebelum proses pengundian sebenar berlangsung, sekolah tersebut melakukan pilihan raya olok-olok dan menjemput semua muridnya untuk membuang undi bagi memilih Presiden AS berdasarkan calon yang sebenar.

Namun proses pemilihan itu ternyata mengagumkan kerana semua murid akan menghabiskan masa selama berbulan-bulan untuk belajar tentang calon yang dilabel sebagai Calon A dan Calon B.

Mereka hanya memberi tumpuan kepada isu sebenar termasuk dasar yang diperjuangkan oleh kedua-dua valon tersebut tanpa mengambil kira personaliti dan populariti.

"Kami berbincang tentang fakta dan isu yang sebenar.

"Murid-murid akan berdebat tentang fakta tersebut di dalam kelas," kata guru besar sekolah itu, Patricia Moore.

Senario itu telah dilaksanakan setiap empat tahun sejak 1968 ketika Tom McAdams, guru murid tahun lima memulakan tradisi tersebut.

"Keputusan yang kami perolehi tepat dengan Pilihan Raya Presiden yang sebenar dengan menggunakan sistem undian popular.

"Kami berbangga dengan tradisi ini dan setiap empat tahun kami akan meneruskannya," katanya.

Berdasarkan keputusan "pilihan raya" kali ini, Sekolah Rendah Benjami Franklin meramalkan calon dari Parti Demokrat, Hillary Clinton dipilih sebagai Presiden.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain