suria

Majalah Newsweek Tarik Semula 125,000 Naskah Edisi "Madam President"

Hanya 17 naskah majalah edisi khas "Madam President" yang sempat dijual untuk meraikan kemenangan Hillary Clinton. - Ihsan JUSTIN SULLIVAN/GETTY IMAGES

NEW YORK: Tinjauan umum dan analisis pakar politik tentang Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS) terbukti salah apabila ramai menjangkakan Hillary Clinton dari Parti Demokrat mampu mengatasi seterunya, Donald Trump dari Parti Republikan.

Nasib yang lebih buruk terpaksa dihadapi oleh Syarikat majalah berita mingguan, Newsweek dan rakan niaganya apabila mencetak dan mengedarkan edisi khas yang lebih awal bagi menyambut kemenangan Hillary.

Syarikat itu terpaksa menarik semula 125,000 cetakan majalah yang tertera tajuk "Madam President" yang dikhaskan bagi meraikan kemenangan Hillary ke atas Trump.

Walaupun rakan niaga Newsweek, Topix Media turut menyediakan edisi khas untuk Trump tetapi syarikat itu terlebih dahulu mengedarkan edisi Hillary yang mengisahkan liku perjalanan wanita itu menguasai White House.

"Seperti orang lain, kami juga melakukan kesilapan," kata Ketua Eksekutif Topix Media, Tony Romando kepada portal The New York Post.

Edisi Hillary itu mula dijual pada Selasa lalu tetapi ditarik semula serta-merta.

"Semua pemborong dan penjual telah diarahkan untuk memulangkan semula edisi berkenaan untuk digantikan dengan edisi "President Trump".

"Kami menjangkakan edisi Hillary akan dijual dengan cepat kerana terdapat permintaan yang tinggi," kata Romando.

Bagaimanapun beliau berkata, hanya 17 naskah sahaja yang sempat dijual.

Paparan muka depan majalah itu yang tertera muka Hillary ternyata menjadi bahan sebaran dalam laman sosial dan segelintir penyokong Trump menyifatkan kesilapan tersebut merupakan kepincangan antara media arus perdanan dan pasukan kempen Hillary.

Malah turut tersebar gambar yang menunjukkan Hillary menandatangani majalah tersebut pada satu majlis menjelang hari pengundian di Pittsburgh.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain