KOLEKSI peribadi karya seni milik mendiang David Bowie mencecah £24.3 juta (RM135 juta) pada sesi lelongan yang dikendalikan agensi terkemuka, Sotheby baru-baru ini.
Hasil jualan itu meningkat dua kali ganda berbanding ramalan awal antara £8.1 juta (RM45 juta) ke £11.7 juta (RM65 juta).
Misalnya, lukisan Jean-Michel Basquiat pada 1984 bertajuk Air Power mendapat bidaan tertinggi £7.1 juta (RM40 juta).
Selain itu, hasil tangan Frank Auerbach yang dinamakan Head of Gerda Boehm yang menjadi antara karya yang disayangi Bowie pula dijual pada harga £3.8 juta (RM21 juta) iaitu 10 kali ganda daripada kadar ramalan awal.
Karya seterusnya yang dibida adalah hasil lukisan Bowie sendiri bersama Damien Hirst yang diberi tajuk Beautiful, hallo, space-boy painting. Ia dijual pada harga £785,000 (RM4.3 juta).
Turut tersenarai untuk bidaan adalah koleksi Bowie hasil karya Peter Lanyon, Bernard Leach, Winifred Nicholson, Wilhelmina Barns-Graham dan Henry Lamb.- MailOnline