KENTUCKY: Gara-gara ingin popular di laman media sosial, seorang lelaki dengan sengaja membakar hutan untuk mendapat perhatian ramai.
Johnny Mullins mula membakar kawasan hutan di Jenkins di sini sambil merakam dan umpama wartawan di lokasi kejadian, dia melaporkan perbuatannya di Facebook.
Dailymail melaporkan, pemuda berusia 21 tahun itu berjaya menarik perhatian 2,400 pelayar menerusi video yang dimuatnaik minggu lepas.
Ketua Polis Jenkins, James Stephen berkata, Mullins ditahan polis susulan tindakannya yang mahukan perhatian.
"Dia suka rakam video untuk Facebook dan pelayar mengikutnya untuk 'laporan cuaca'," katanya.
Akibat kejadian berkenaan, pihak bomba terpaksa menggunakan helikopter untuk memadamkan kebakaran.
Pemuda itu akan didakwa atas tuduhan sengaja memulakan kebakaran.