suria

Juruterbang Indonesia 'Bernyawa Dua' Ditemukan

Yohannes (duduk) bergambar bersama penduduk yang menyelamatkannya selepas terselamat dalam nahas helikopter pada dua minggu lalu. - Ihsan Jawapos

JAKARTA: Seorang juruterbang sebuah pesawat tentera yang terhempas dua minggu lalu di kawasan hutan terpencil di wilayah Malinau di Kalimantan ditemukan masih hidup.

Jurucakap tentera, Sabrar Fadhilah memberitahu kepada media pada Jumaat, Yohanes Syahputra ditemukan lewat Khamis oleh penduduk kampung Long Sulit.

Menurut media tempatan, penduduk menemukan Yohanes sedang berehat di sebuah pondok yang didirikan berhampiran ladang milik penduduk kampung.

“Yohanes berada dalam keadaan lemah kerana tidak makan selama beberapa hari ketika ditemukan.

“Mangsa juga mengalami kecederaan pada tangan, pinggang dan kakinya,” katanya.

Yohanes dilaporkan meredah hutan tebal dan gunung-ganang selama dua minggu sebelum penduduk di kampung terpencil berkenaan menjumpainya.

Lelaki itu adalah juruterbang helikopter Bell 412 yang membawa empat lagi kru yang terputus hubungan pada 24 November lalu di Kalimantan.

Bangkai helikopter itu dijumpai tiga hari kemudian selepas terhempas ketika menghantar bekalan ke sebuah pos tentera berhampiran sempadan Malaysia.

Tiga kru helikopter berkenaan ditemui mati manakala seorang lagi terselamat dan dibawa keluar dari lokasi nahas menggunakan helikopter.

Selama seminggu operasi mencari dan menyelamat, Yohanes gagal dikesan sebelum misi itu dihentikan sementara.

Sementara itu, seorang penduduk, Marthias Seradu berkata, Yohanes kini berada di sebuah rumah penduduk di kampung itu dan berada dalam keadaan sihat.

“Saya sudah bertemu Yohanes dan bergambar dengannya. Dia kini hanya baring di katil akibat sakit di belakang dan tidak boleh dibawa keluar menggunakan jalan darat kerana terlalu jauh,” katanya kepada akhbar Radar Tarakan.

Indonesia

Artikel Lain