JAKARTA: Hari pertama perbicaraan Basuki Tjahaja Purnama menyaksikan Gabenor Jakarta itu menangis ketika menafikan beliau berniat menghina al-Quran dalam prosiding di sebuah mahkamah di bandaraya ini pada Selasa. Perbicaraan pemimpin yang popular dengan panggilan Ahok dilihat sebagai cabaran kepada prinsip kebebasan agama di Indonesia sebagai negara dengan penduduk Islam paling ramai di dunia. Dalam perbicaraan itu, Ahok berkata, beliau sama sekali tidak berniat untuk menghina apabila mengulas berhubung tindakan lawannya menggunakan ayat suci al-Quran dalam kempen politik mereka. Beliau didakwa mengeluarkan komen kontroversi tersebut semasa berkempen di Kepulauan Seribu, luar Jakarta akhir September lalu. “Jelas sekali bahawa apa yang saya katakan di Kepulauan Seribu bukannya bertujuan untuk mentafsirkan al-Quran, apatah lagi menghina Islam ataupun golongan ulama,” kata Ahok semasa menjawab tuduhan pendakwa raya. Menurutnya, komen tersebut menyasarkan musuh politiknya yang cuba mendapatkan kelebihan secara tidak adil dalam pilihan raya dengan meminta pengundi agar tidak menyokong calon bukan Islam. Ahok yang akan bertanding menentang dua calon Islam pada pilihan raya Februari depan memberitahu, beliau mempunyai hubungan erat dengan ibu bapa angkatnya yang beragama Islam semasa tinggal di pedalaman di Pulau Bangka. “Saya sangat sedih kerana dituduh menghina Islam kerana dakwaan ini sama seperti menyatakan saya menghina ibu bapa dan keluarga angkat saya,” ujar Ahok. Walaupun bersedih pada perbicaraan tersebut, ada ketikanya Ahok kedengaran sangat lantang. Beliau menuduh sebilangan pemimpin dalam kalangan elit politik di Indonesia sebagai “pengecut” kerana sanggup memecahbelahkan rakyat untuk mendapatkan kuasa. Ahok berdepan hukuman penjara lima tahun sekiranya didapati bersalah, manakala hampir kesemua kes menghina Islam sejak beberapa tahun lalu berakhir dengan keputusan bersalah. Kira-kira 100 penunjuk perasaan berhimpun di luar mahkamah berkenaan untuk mendesak supaya Ahok dipenjarakan sambil melaungkan kata-kata “Tuhan Maha Besar”, manakala penyokong beliau di kalangan etnik Cina Kristian turut berkumpul dan menyanyikan lagu kebangsaan Indonesia. Pasukan polis ditempatkan di lokasi itu selepas ribuan penduduk Islam berarak di jalan-jalan di Jakarta pada November lepas dan bulan ini. Penduduk Islam masih mendesak Ahok ditangkap dan meminta pengundi tidak mengundinya pada pilihan raya Gabenor yang akan berlangsung Februari depan. Demonstrasi itu disertai kira-kira 150,000 orang dan dikatakan yang terbesar di Jakarta dalam tempoh hampir dua dekad. Perbicaraan akan disambung semula pada 20 Disember ini. – Reuters