MOSCOW: Sebuah pesawat dinaiki 39 tentera Rusia terhempas awal Isnin menyebabkan 16 daripadanya cedera parah. Menurut Kementerian Pertahanan Rusia, pesawat Ilyushin-18 itu terhempas ketika membuat pendaratan cemas kira-kira pukul 4.45 pagi waktu tempatan di Sakha, timur Siberia. Agensi berita RIA Novosti melaporkan, semua penumpang selamat namun 16 daripadanya parah dan 20 yang lain turut diberikan rawatan. Punca kejadian masih belum dapat dipastikan, namun sumber kementerian menyebut juruterbang tidak membuat panggilan kecemasan. Pesawat berkenaan melakukan penerbangan dalam keadaan cuaca buruk. – AFP