JAKARTA: Polis Indonesia menggagalkan plot sekumpulan empat orang pengganas yang merancang melakukan bom bunuh diri di Jakarta pada hujung minggu ini. Ketua Biro Penerangan Masyarakat Markas Besar Polis Republik Indonesia, Rikwanto memberitahu sidang media di sini pada Rabu, tiga daripada anggota kumpulan pengganas itu ditembak mati manakala seorang lagi ditahan. Beliau berkata tiga lelaki terbabit ditembak mati dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kampung Babakan di Tangerang Selatan dekat sini pagi hari yang sama. "Perancangan kumpulan pengganas itu terbongkar apabila polis pada mulanya menahan seorang lelaki yang dalam keadaan mencurigakan di kawasan Kota Tangerang, Banten pada kira-kira 8 pagi tadi. "Siasatan lanjut mendapati, suspek mengaku terdapat tiga rakannya berada dalam sebuah rumah sewa dan sedang menyiapkan beberapa butir bom untuk diletupkan di beberapa tempat termasuk di sebuah balai polis pada hujung minggu ini," katanya. Rikwanto berkata, bertindak daripada maklumat itu, pada 9.45 pagi tadi sepasukan Densus 88 menyerbu rumah sewa berkenaan dan meminta ketiga-tiga lelaki terbabit untuk keluar menyerah diri tetapi kumpulan pengganas itu sebaliknya melawan dan telah melontar sebutir bom ke arah pasukan polis. Katanya bom itu bagaimanapun tidak meledak dan polis kemudiannya mengambil tindakan tegas menyerbu masuk ke rumah itu. "Setelah tiada lagi berbalas tembakan, polis menyerbu masuk ke rumah itu dan menemui tiga lelaki yang telah mati ditembak. Polis kemudiannya mengeledah rumah itu dan menemui beberapa butir bom termasuk sebutir bom buatan tangan yang besar. "Pasukan pemusnah bom kemudiannya telah meletupkan tiga butir bom yang ditemui dan setakat ini polis masih mengeledah rumah berkenaan bagi mencari kemungkinan masih terdapat bom," katanya. Rikwanto berkata, kumpulan pengganas itu mahu melakukan bom bunuh diri dan modus operandinya ialah menyerang balai polis dengan senjata tajam dan apabila keadaan menjadi riuh rendah, mereka akan meletupkan bom bunuh diri. "Mereka ini mempunyai jaringan dengan pengganas yang ditahan bersama bom buatan sendiri di Bekasi baru-baru ini," katanya. Dua minggu lepas, polis menahan tiga orang termasuk sepasang suami isteri di sebuah rumah di Bekasi dan menemukan sebutir bom buatan sendiri.