suria

Polis, Jokowi Berbeza Pendapat Tentang Fenomena 'Om Telolet Om'

Kanak-kanak Indonesia memegang poster tertulis 'om telolet om' untuk ditujukan kepada pemandu bas agar membunyikan hon kenderaan mereka di Solo, Jawa Tengah pada 23 Disember 2016. - AP

JAKARTA: Fenomena 'Om Telolet Om' di mana masyarakat meminta pemandu bas dan lori membunyikan hon berirama sebagai hiburan untuk mereka, turut mendapat reaksi Presiden Joko Widodo.

Media dalam talian memetik Presiden Indonesia yang lebih dikenali dengan nama Jokowi itu berkata, fenomena tersebut adalah satu cara rakyat mencari hiburan secara sederhana dan merasa bahagia mengenainya.

"(Om Telolet Om) sebuah kesederhanaan, sebuah kesenangan, sebuah kebahgiaan dari rakyat untuk memperoleh sebuah hiburan atau hobi, saya kira sangat bagus," katanya.

Fenomena yang bermula di Indonesia itu kini dilaporkan telah berjangkit ke seluruh dunia apabila ia menjadi viral di media sosial menerusi video orang awam terutamanya golongan remaja memegang kad besar di tepi jalan dengan tulisan 'Om Telolet Om' yang bermaksud "Pakcik bunyikan hon berirama pakcik'.

Jokowi berkata fenomena 'Om Telolet Om' adalah bukti kekuatan pengaruh media sosial dalam kalangan rakyat seluruh dunia sehingga sesuatu aktiviti di sesebuah negara boleh menjadi ikutan di negara lain.

Namun, 'kegilaan' itu mendapat reaksi berbeza daripada polis yang tidak setuju atas alasan terdapat kenderaaan yang menggunakan hon berirama secara melampau, bukannya menggunakan hon yang mengikut standard speksifikasi kenderaan.

Ketua Bahagian Hubungan Masyarakat Polis Republik Indonesia Martinus Sitompul berkata, fungsi hon ialah untuk memberi isyarat secara berbunyi dan fenomena 'Om Telolet Om' itu menyebabkan hon dibunyikan tanpa sebab.

Katanya peraturan hon kenderaan yang ditetapkan menyebut ia harus digunakan secara tidak mengganggu konsentrasi pemandu lain.

Beliau berkata, mengikut Perkara 279 Undang-undang Lalulintas dan Angkutan Jalan Nombor 22 Tahun 2009, pemandu kenderaan yang menganggu keselamatan lalu lintas boleh dihukum penjara dua bulan dan denda tidak melebihi Rp500,000 (RM161).

Martinus berkata, polis akan memberi peringatan kepada pemandu bas yang menggunakan hon berirama dan tidak teragak-agak mengeluarkan saman jika mereka terus melanggar arahan.

Katanya selain itu perbuatan kanak-kanak yang menunggu bas di tepi jalan untuk mendengar hon berirama tersebut juga adalah berbahaya kerana boleh mengakibatkan kemalangan.

Polis di daerah Kediri Kota di Jawa Timur pula telah mengeluarkan larangan kepada semua pemandu bas membunyikan hon berirama itu.

Ketua Polis Trafik Kediri Kota Mohamad Amirul Hakim berkata bunyi hon berirama itu dianggap mengganggu pengguna jalan dan boleh mengakibatkan kemalangan.

Katanya polis telah menemui pengusaha bas dan pengeluar hon berirama bagi memberi penerangan mengenai larangan penggunaan hon seperti itu di daerah berkenaan.

"Hasil perjumpaan dan perbincangan yang dilakukan, pengusaha bas bersetuju untuk tidak menggunakan hon berirama dalam bas mereka," katanya. - BERNAMA

Om Telolet Om, Jokowi

Artikel Berikut

Artikel Lain