suria

Malaysia Bantu Sekolah Pondok Indonesia

JAKARTA: Masalah dan kedaifan sekolah agama yang dikenali sebagai pondok pesantren di Indonesia sentiasa mendapat perhatian dari Malaysia.

Malaysia menerusi Kedutaan Besarnya di Indonesia hari ini menghulurkan sumbangan wang tunai berjumlah lebih Rp30 juta (kira-kira RM10,000) kepada Pondok Pesantren Al I'tishom di Jakarta Selatan di sini.

Sumbangan itu disampaikan Duta Besar Malaysia di Indonesia, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim kepada pengetua pesantren itu, Marzuki Arman Abduh.

Zahrain dalam ucapannya berkata bantuan kewangan itu adalah sebagai aktiviti kebajikan kedutaan yang turut disokong ahli-ahli perniagaan Malaysia dan syarikat Malaysia yang beroperasi di Indonesia.

Katanya kerajaan sebagai negara jiran yang paling hampir dan akrab, sentiasa memberi sumbangan kepada pihak yang memerlukan di Indonesia.

"Ini adalah tanggungjawab sosial dan Atase Agama di Kedutaan Besar Malaysia, memilih Pesantren Al I'tishom untuk menerima bantuan bagi tahun ini," katanya.

Sementara itu, Marzuki dalam ucapannya berkata bantuan kewangan yang diberikan sememangnya sesuatu yang sangat diharapkan.

Beliau berkata, setakat ini pesantren itu mempunyai 250 pelajar yang sedang mengikuti pendidikan sekolah rendah dan menengah selain pengajian agama dan pihaknya juga terpaksa membiayai gaji untuk 30 tenaga pengajarnya.

Katanya bantuan itu membuktikan hubungan dengan Malaysia bukan sekadar antara kerajaan dan kerajaan malah mempunyai hubungan akrab sesama insan. - BERNAMA

Malaysia, Indonesia

Artikel Sebelum

Artikel Lain