suria

Kastam Filipina Rampas 22 Berlian Curi Dari Malaysia

Pihak BOC melaporkan 22 butir berlian ditemukan dalam kotak hadiah yang dikirim dari alamat Malaysia. - Ihsan BOC

MANILA: Biro Kastam (BOC) Filipina melaporkan penemuan 22 butir berlian yang dicuri apabila melakukan pemeriksaan terhadap sebuah kotak hadiah yang dikirim dari Malaysia.

Dalam satu kenyataan, Pesuruhjaya BOC, Nicanor Faeldon berkata, berlian tersebut disimpan dalam bungkusan beg plastik dan disembunyikan dalam dompet di dalam kotak itu yang dihantar oleh pengirimnya, Arturo R. Rivera dari Kuala Lumpur.

Pakej itu dihantar kepada penerima bernama Lajane Basilio dengan alamat Purok 1, Luakan, Bataan.

"Pihak kastam tidak sampai hati untuk merampas kotak yang sepatutnya mengandungi hadiah yang dikirimkan kepada insan tersayang.

"Tetapi kami juga tidak boleh bertoleransi terhadap pihak yang menggunakan kotak hadiah untuk melakukan penyeludupan kerana perbuatan itu melanggar undang-undang," katanya.

Menurut Faeldon, BOC menemukan berlian tersebut berdasarkan maklumat yang diberikan oleh Pengarah Biro Siasatan Kebangsaan, Dante Gierran.

Bagaimanapun beliau tidak memberikan butiran lanjut tentang pemilik sebenar berlian itu dan bagaimana barangan berharga tersebut dicuri.

Malah jumlah sebenar berlian itu juga tidak dapat dipastikan.

Kertas dakwaan terhadap Rivera dan Basilio sedang disiapkan untuk tindakan lanjut. -  Philippine Daily Inquirer/

Kastam Filipina, Berlian, Malaysia

Artikel Sebelum

Artikel Lain