WASHINGTON: Pentadbiran Obama merancang untuk membuat pengumuman mengenai siri tindakan balas terhadap Rusia pada Khamis, kerana menggodam institusi politik dan beberapa individu Amerika Syarikat (AS), termasuklah pembocoran maklumat dalam usaha membantu memenangkan Presiden Donald Trump dan calon Republikan lain, kata dua pegawai AS, Rabu. Kedua-dua pegawai itu enggan menyatakan apakah tindakan Presiden Barack Obama yang telah diluluskan, tetapi berkata sasarannya adalah sekatan ekonomi, maklumat bocor untuk memalukan pegawai atau oligarki Rusia dan sekatan ke atas diplomat Rusia di AS adalah antara langkah-langkah yang telah dibincangkan. Mereka berkata, satu keputusan telah dibuat dengan matlamat untuk mengelakkan sebarang langkah penggodaman pilihan raya oleh Rusia dan peningkatan risiko konflik siber. Biro Penyiasatan Persekutuan, Agensi Perisikan Pusat dan Pejabat Pengarah Perisikan Kebangsaan bersetuju bahawa Rusia telah berada di belakang penggodaman organisasi-organisasi Parti Demokratik menjelang pilihan raya presiden pada 8 November lalu. Menurut pegawai-pegawai Amerika Syarikat, terdapat juga perjanjian bahawa Rusia cuba untuk campur tangan dalam pilihan raya untuk membantu Trump, seorang calon Republikan, bagi mengalahkan calon Demokrat Hillary Clinton. Trump pula seolah-olah menunjukkan bahawa AS tidak harus mengenakan sekatan ke atas Rusia. "Saya fikir kita harus meneruskan kehidupan kita," kata Trump kepada pemberita di Florida pada Rabu ketika ditanya mengenai kenyataan oleh Senator Republikan, Lindsey Graham, yang berkata Russia dan Presiden Vladimir Putin boleh mengharapkan sekatan ketat serangan siber dari AS. Jurucakap Kementerian Luar Rusia, Maria Zakharova, berjanji akan bertindak balas terhadap Washington pada Rabu sekiranya berlaku sekatan ekonomi baru.