JAKARTA: Seorang juruterbang Indonesia yang tersandung ketika melalui pintu keselamatan lapangan terbang dipecat kerana dipercayai hadir bertugas dalam keadaan mabuk. Ketua Pegawai Eksekutif syarikat penerbangan tambang murah Citilink iaitu anak syarikat penerbangan Garuda Indonesia, juga telah menawarkan peletakan jawatannya untuk mengambil tanggungjawab bagi kejadian itu. Rakaman YouTube menunjukkan juruterbang berusia 32 tahun, Tekad Purna bukan sahaja berjalan seperti orang mabuk, malah menjatuhkan beg dan barang-barangnya beberapa kali ketika pemeriksaan di pintu keselamatan. Pada hari berkenaan, juruterbang itu juga tiba lewat hingga menyebabkan penerbangan dari Surabaya ke Jakarta pada Rabu lalu lewat untuk berlepas. -AFP