suria

Seekor Penyu Ditemui Mati Di Pantai Singapura

-foto Chandran V.R.
SINGAPURA: Seekor penyu berukuran lebih dari satu meter panjang ditemui mati terbelah dua di Pantai Changi pada Isnin, dipercayai terkena kipas kapal.

Seorang pembaca The Straits Times (TST) Chandran V. R. memberitahu akhbar itu bahawa beliau sedang beriadah di kawasan itu kira-kira pukul 8.30 pagi apabila ternampak bangkai haiwan itu dari jauh.

"Pada mulanya saya fikir bagaimana benda besar ini ada di situ. Saya mulanya tidak tahu ia adalah seekor penyu," kata pengarah urusan berusia 46 tahun itu.

Ketika itu beliau sedang berjoging berhampiran Terminal Feri Changi dan terhidu bau busuk.

Chandran kemudian pergi lebih dekat lagi dan melihat seekor penyu yang telah mati, berukuran lebih dari satu meter terdampar di atas pasir.

"Ia nampak seperti telah mati selama sekurang-kurangnya dua hingga tiga hari," katanya.

Beliau kemudian menghubungi Pihak berkuasa Pertanian-Makanan dan Veterinar Singapura (AVA), kerana 'tidak mahu sesiapa sahaja melakukan sesuatu yang tidak menghormati bangkai ini'.

"Ia adalah satu makhluk cantik yang berdepan masalah dan mati terdampar di negara kita. Saya hanya mahu bangkai ini dibuang dengan cara hormat," kata Chandran.

Beliau percaya AVA telah mengambil bangkai itu, berdasarkan penanda lokasi yang dihantar kepada mereka.

"Anda tidak selalu akan dapat melihat penyu sebesar itu di perairan Singapura," katanya.

TST telah menghubungi AVA untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Timbalan Ketua Eksekutif Keprihatinan Haiwan dan Pendidikan Masyarakat (Acres), Anbarasi Boopal menyatakan kekecewaannya di atas kematian penyu itu.

Beliau memberitahu TST bahawa Acres sebelum ini telah menyelamatkan seekor penyu yang cedera, mungkin juga akibat terkena kipas.

Ia telah dipulihkan dan dilepaskan semula ke dalam habitatnya.

Bangkai seekor ikan lumba-lumba telah terdampar di pantai di East Coast Park pada Julai 2016. – The Straits Times/Asia News Network
penyu mati, pantai Singapura

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain