SYDNEY: Seorang lelaki yang dipenjarakan kerana membunuh isteri dan dua cucunya didakwa pada Selasa kerana membunuh rakan banduannya dengan pembakar roti. John Walsh, 77, didakwa memukul Frank Townsend di dalam sel yang dikongsi di penjara berhampiran Sydney. Menurut laporan, dia menggunakan pembakar roti bagi tujuan berkenaan. Seorang pengawal dimaklumkan mengenai kejadian itu pada lewat malam Isnin selepas terdengar bunyi bising dari sel mereka. "Pegawai itu menghidupkan lampu di sel dan mendapati mangsa yang berusia 71 tahun itu diserang," kata seorang jurucakap dari pusat tahanan. Tambah pegawai berkenaan, mangsa dikejarkan ke hospital selepas itu namun meninggal dunia ketika dalam perjalanan. Pada 2008, Walsh dijatuhi hukuman penjara seumur hidup kerana membunuh isteri dan cucunya dengan kejam. Dia memukul isteri dan cucu lelaki yang berusia tujuh tahun hingga mati dan melemaskan cucu perempuannya yang berusia lima tahun di dalam bilik mandi ketika cuba untuk membunuh anak perempuannya dengan kapak. Walsh akan dibicarakan di mahkamah pada Rabu. -AFP