suria

Identiti Penyerang Kelab Malam Turki Dikenal Pasti

ANGGOTA pasukan khas Turki mengawal lokasi serangan di kelab malam Reina pada 4 Januari 2017. - AP

ANKARA: Identiti penyerang yang membunuh 39 orang dalam serangan di sebuah kelab malam di Istanbul pada ambang Tahun Baharu lalu, sudah dikenalpasti, demikian kata Menteri Luar Turki, Mevlut Cavusoglu.

"Identiti individu yang bertanggungjawab dalam serangan di Istanbul telah dikenalpasti dan operasi untuk menangkapnya sedang dijalankan.

"Pihak berkuasa juga sudah menggeledah rumah yang didiami suspek," katanya.

Penyerang bersenjata itu yang melarikan diri selepas serangan, masih lagi bebas dan diburu oleh pasukan keselamatan Turki.

Cavusoglu enggan mendedahkan identiti penyerang tersebut tetapi beliau menjelaskan serangan di kelab malam Reina itu dilakukan oleh pihak yang profesional.

"Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Kehakiman masih meneruskan siasatan untuk mencari dalang serangan tersebut," ujarnya.

Militan Daesh mengaku bertanggungjawab dalam serangan itu pada Isnin, pengakuan kali pertama melibatkan serangan yang berlaku di Turki.

Dalam kejadian awal Ahad lalu, penyerang bersenjata menyerbu kelab malam Reina dan melepaskan 120 das tembakan ke arah pengunjung yang leka menyambut ketibaan tahun 2017.

Seramai 39 orang terbunuh dalam kejadian itu dan 27 daripadanya merupakan rakyat Lebanon, Arab Saudi, Israel, Jordan, Iraq, Tunisia dan Maghribi.

Menurut laporan akhbar harian Hurriyet, penyerang yang dipercayai berketurunan Asia Tengah, tiba di Turki dari Syria.

Tarikh suspek tiba di negara itu tidak dapat dipastikan tetapi dia berada di Anatolian dekat wilayah Konya pada 22 November sebelum menuju ke Istanbul untuk melancarkan serangan.

Berdasarkan siasatan, suspek tiba di Konya bersama isteri dan dua anaknya yang tinggal di sebuah rumah sewa.

Ahli keluarga suspek yang dirahsiakan identitinya, masih ditahan pihak polis untuk siasatan lanjut.

Turki, Reina, Mevlut Cavusoglu

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain