suria

Lori Tangki Minyak Meletup Dekat Pasar, 43 Maut Di Syria

BEIRUT: Letupan lori tangki minyak di kawasan pasar di bandar Azaz, Syria yang dikuasai kumpulan penentang berhampiran sempadan Turki mengakibatkan sekurang-kurangnya 43 maut dan berpuluh lagi cedera.

Enam anggota penentang terbunuh dalam kejadian itu tetapi kebanyakan mangsa yang maut dipercayai orang awam.

Pengarah Pemerhati Syria untuk Hak Asasi Manusia, Rami Abdel Rahman memberitahu, proses mengenal pasti mangsa sukar kerana beberapa mayat rentung dalam letupan besar berkenaan.

Rakaman video di lokasi kejadian menunjukkan asap tebal menjulang di jalan raya yang penuh dengan sisa runtuhan bangunan dan rangka kenderaan.

Api masih marak membakar beberapa kenderaan dan anggota bomba bertungkus-lumus memadam kebakaran.

Anggota penyelamat yang dibantu orang ramai membersihkan sisa sebuah bangunan yang runtuh dan menghalang jalan.

Serangan itu bukan yang pertama di bandar kecil tetapi dianggap yang paling buruk pernah berlaku.

Kumpulan penentang menuduh serangan berkenaan didalangi militan Daesh.

Anggota kumpulan militan itu berada di semua kawasan di wilayah Aleppo dan dipercayai mara ke Azaz sebelum ini.- AFP

Azaz, Daesh

Artikel Lain