suria

Taiwan Kerah Jet Pejuang, Kapal Perang Awasi Armada Tentera China

TAIPEI: Taiwan mengerahkan jet pejuang dan kapal perangnya susulan kehadiran beberapa kapal perang China yang diketuai kapal pengangkut pesawat berdekatan kawasan Selat Taiwan pada Rabu, sekali gus meningkatkan lagi ketegangan antara kedua-dua negara.

Menurut Kementerian Pertahanan Taiwan, kapal pengangkut pesawat era Soviet, Liaoning itu dalam pelayaran pulang ke Tanah Besar China selepas menjalani latihan di Laut China Selatan dan tidak memasuki kawasan perairan Taiwan.

Namun armada tentera laut China itu belayar di Zon Pengenalan Pertahanan (ADIZ) di barat laut negara tersebut, ujar kementerian berkenaan.

"Sebagai langkah berjaga-jaga, beberapa jet dan kapal perang dikerah untuk memantau dan mengawal pelayaran armada tentera China di laluan yang memisahkan Taiwan dan China.

"Kami memantau rapi pergerakan armada tersebut," kata jurucakap kementerian terbabit, Chen Chung-chi.

Menurut kerajaan China, kapal pengangkut pesawat Liaoning menyertai latihan ujian senjata dan peralatan di Laut China Selatan, dan pelayaran kapal itu mematuhi peraturan antarabangsa.

Taiwan dan China terlibat dalam beberapa siri konflik diplomatik apabila Taipei mahu memerintah secara bersendiri manakala Beijing menganggap kepulauan tersebut sebagai miliknya.


China, Taiwan

Artikel Lain