KIRA-KIRA 1,000 penuntut universiti bersiap sedia untuk mengadakan perhimpunan yang dikenali sebagai 'Mempertahankan Tindakan Rakyat 121' di Jakarta pada Khamis. Ia bagi menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan harga makanan dan kenaikan bayaran elektrik, lesen memandu dan dokumen pendaftaran kenderaan. "Jumlahnya dijangka mencecah kira-kira 1,000," kata jurucakap polis Jakarta, Komander Kanan, Argo Yuwono seperti dilaporkan kompas.com Kumpulan pelajar di beberapa bandar di negara ini juga dijangka melakukan perkara sama. Argo berkata, pelajar berkenaan dikatakan akan berhimpun di kampus masing-masing sebelum bergerak ke pusat bandaraya ini dan seterusnya ke Istana Presiden. Sehubungan itu, pihaknya telah bersiap sedia dengan anggotanya untuk mengawal keadaan yang dijangka berlangsung sehingga pukul 6 petang Khamis. "Jumlah anggota polis bertugas bergantung kepada situasi perhimpunan itu, bagaimanapun diharap ia berjalan dengan aman," katanya. Kali terakhir Jakarta berdepan perhimpunan rakyatnya adalah pada 2 Disember lalu susulan tindakan gabenornya yang mengeluarkan kenyataan berkaitan al-Quran dan Islam.