RAMALLAH: Presiden Palestin, Mahmoud Abbas dan pemimpin Vatican, Pope Francis pada Sabtu mengadakan pertemuan untuk membincangkan pelan pemindahan Kedutaan Amerika Syarikat ke Baitulmaqdis. Bakal Presiden AS, Donald Trump berulang kali menyuarakan hasrat untuk merealisasikan perkaran tersebut walaupun tindakan tersebut mengundang konflik berterusan antara Palestin dan Israel. Dalam lawatan Abbas ke Vatican, beliau turut singgah di Rome untuk merasmikan kedutaan baharu Palestin di wilayah tersebut yang disifatkan sebagai petanda kasih sayang Pope terhadap penduduk Palestin dan cintakan keamanan. Mengulas tentang pelan Trump, Abbas berkata, pihaknya akan memantau perkembangan semasa sama ada Kedutaan AS di Tel Aviv, Israel akan dipindahkan ke Baitulmaqdis. "Kita akan menunggu untuk melihat sekiranya perkara itu berlaku. "Jika benar, tindakan AS itu tidak akan menyumbang kepada keamanan dan kita berharap pelan tersebut tidak direalisasikan," katanya. Vatican mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara yang merdeka sejak beberapa tahun lalu sebelum secara rasmi menandatangani perjanjian pada 2015 yang mengisyitharkan Negara Palestin. Bagaimanapun pihak Vatican masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung pertemuan itu atau bantahan terhadap pelan AS memindahkan kedutaan ke Baitulmaqdis.