NATAL: Sekurang-kurangnya 30 banduan terbunuh dalam keganasan terbaharu melibatkan pertempuran antara dua kumpulan di sebuah penjara Brazil pada Sabtu. Insiden itu tercetus di penjara Alcacuz dekat Rio Grander do Norte, sekali gus mengulangi kejadian yang sama di sebuah penjara lain di Brazil yang menyaksikan kira-kira 100 banduan maut pada awal bulan ini. Pengurus keselamatan awam negeri, Cai Bezzera berkata, pasukan keselamatan mengambil masa selama 14 jam untuk menghentikan keganasan tersebut yang berpunca akibat pertelagahan dua kumpulan dadah. Menurutnya, sekurang-kurangnya tiga banduan dipancung dalam pergaduhan itu yang dipercayai melibatkan kumpulan dadah terbesar Brazil, First Capital Command (PCC) dan Red Command. Pertempuran dua kumpulan itu dipercayai mempunyai kaitan untuk menguasai satu daripada laluan dan pasaran kokain paling penting di dunia. Penjara berkenaan yang terletak di luar kawasan Natal dibina dengan kapasiti 620 banduan tetapi ketika ini menampung 1,083 pesalah. Sementara itu Presiden Brazil, Michel Temer berkata, kerajaan Persekutuan akan menyalurkan segala bantuan yang diperlukan untuk menangani krisis tersebut. Susulan dua insiden keganasan yang berlaku pada bulan ini, Temer mengumumkan peruntukan sebanyak AS$250 juta untuk membina penjara baharu. Masalah penjara yang padat di Brazil sudah berlanjutan sejak sekian lama memandangkan negara itu menampung 622,000 banduan, sekali gus melebihi 50 peratus daripada kapasiti yang sepatutnya. Brazil merupakan negara keempat yang memiliki banduan paling ramai di dunia selepas Amerika Syarikat, China dan Rusia.