suria

Usaha Pencarian MH370 Mungkin Disambung - Australia

SYDNEY: Kerajaan Australia tidak menolak kemungkinan bahawa misi pencarian pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 mungkin akan disambung semula pada masa hadapan ketika ahli keluarga mangsa mengkritik keputusan untuk menggantung usaha tersebut seperti diumumkan pada Selasa.

Menteri Pengangkutan Australia, Darren Chester berkata, keputusan tiga pihak termasuk Malaysia dan China untuk menghentikan misi pencarian itu bukan disebabkan faktor kos tetapi mereka perlu petunjuk baharu bagi memulakan usaha mencari pesawat tersebut di lokasi yang lebih spesifik.

"Saya tidak menolak kemungkinan bahawa misi pencarian di dasar laut akan dilaksanakan pada masa hadapan," katanya kepada pemberinta di Melbourne, sehari selepas tiga negara terbabit secara rasmi menghentikan usaha itu.

Insiden kehilangan pesawat MH370 menjadi kes paling misteri dalam sejarah nahas udara selepas pesawat Boeing 777 itu hilang dari radar ketika dalam penerbangan menuju ke Beijing dari Kuala Lumpur pada 8 Mac 2014.

Pesawat terbabit disahkan terhempas di selatan Lautan Hindi bersama 239 penumpang dan misi pencarian yang dijalankan sejak hampir tiga tahun lalu sudah menelan belanja sebanyak AS$150 (RM600 juta) meliputi kawasan seluas 120,000 kilometer persegi.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB), Greg Hood yang mengetuai misi pencarian itu, berkata, pihaknya percaya pesawat MH370 tidak berada di lokasi pencarian.

"Walaupun misi pencarian dasar laut telah dihentikan, usaha sampingan termasuk analisis satelit dan corak hanyutan serpihan pesawat tetap akan diteruskan sehingga hujung Februari," katanya.


MH370, ATSB

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain