PENGGUNA telefon pintar tidak perlu bimbang lagi dengan masalah bateri gajet terbakar atau meletup sehingga mengundang kepada kecederaan serius. Ini kerana sepasukan pakar teknologi di Universiti Stanford tampil dengan ciptaan bateri litium yang mampu berfungsi sebagai pemadam api jika terlalu panas atau terbakar. Menurut laporan jurnal sains, Science Advances, bateri itu mengandungi bahan kimia triphenyl phosphate (TPP) yang berfungsi sebagai bahan memadamkan kebakaran. Jelas laporan itu, bahan yang dihasilkan dalam bentuk pepejal itu akan cair jika suhu bateri mencecah 150 darjah Celsius, sekali gus mengekang sebarang letupan atau kebakaran pada bateri. Berdasarkan ujian pakar tersebut, bateri yang terbakar berjaya dipadamkan dalam tempoh 0.4 saat. Kejayaan pakar tersebut mencipta bateri itu diilhamkan dengan insiden letupan atau kebakaran bateri Samsung Galaxy Note 7 yang menggemparkan dunia pada tahun lalu. Bagaimanapun tidak dapat dipastikan sama ada bateri khas itu akan digunakan secara meluas dalam pengeluaran gajet baharu.