NEW YORK: Hanya beberapa jam sebelum Donald Trump mengangkat sumpah sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS), anak perempuannya, Ivanka meminta rakyat AS supaya memberi peluang kepada bapanya. Menerusi temubual ABC News, ahli perniagaan dan ibu kepada tiga cahaya mata itu juga mengaku telah meminta bapanya berhenti memuatnaik tweet yang bersifat kontroversi. "Berilah peluang untuk bapa saya buktikan bahawa anda semua salah. Biar dia mulakan tugasnya, beri dia sedikit masa," kata anak hartawan berusia 35 tahun itu yang telah bersedia untuk berpindah ke Washington. Ditanya apa yang ingin disampaikan kepada rakyat yang akan membantah di jalanan menjelang upacara angkat sumpah pada Sabtu, beliau menjawab: "Sekali lagi ingin saya katakan, beri peluang kepada bapa saya." Suami Ivanka telah dilantik Trump sebagai penasihat Rumah Putih memutuskan untuk tidak lagi terbabit dalam bidang perniagaan termasuk label fesyen miliknya bagi mengelak konflik kepentingan. Dikenali sebagai seorang yang mampu mempengaruhi Trump, katanya, setiap kali bapanya memuatnaik komen di Twitter, Ivanka akan memberi maklumbalas sama ada ia sesuatu yang positif atau sebaliknya. Beliau juga menolak spekulasi bahawa dia akan menjadi Wanita Pertama ketika ibu tirinya, Melania menetap di bandaraya ini sehingga adik tirinya, Barron yang berusia 10 tahun tamat sekolah. "Hanya seorang Wanita Pertama dan Melania seorang yang hebat untuk menjadi Wanita Pertama. Saya bangga dengan dia kerana bijak, mesra dan bertimbang rasa," katanya kepada ABC. Ivanka juga memuji suaminya, Jared Kushner yang pernah dikritik apabila dilantik menduduki kerusi penting di Rumah Putih. Ditanya panggilannya kepada Trump apabila bergelar Presiden AS nanti, Ivanka menjawab: "Dia akan sentiasa menjadi bapa saya."