KUWAIT CITY: Tujuh pesalah, termasuk seorang kerabat diraja dan wanita yang membakar berpuluh-puluh tetamu pada majlis perkahwinan, dijatuhi hukuman gantung di sini, Rabu. Tiga wanita dan empat lelaki itu adalah yang pertama menjalani hukuman mati sejak pertengahan 2013 di negara Teluk yang kaya dengan hasil minyak itu. Pesalah terbabit, termasuk dua rakyat tempatan, Mesir (dua) serta seorang masing-masing dari Bangladesh, Filipina dan Habsyah. Kenyataan pejabat pendakwa raya awam berkata, Sheikh Faisal Abdullah Al-Sabah, adalah anggota keluarga diraja pertama dihukum mati di negara itu, selepas sabit kesalahan menembak dan membunuh anak saudara lelaki dan seorang lagi anggota keluarga pemerintah pada 2010, dalam satu pertengkaran. Seorang lagi tertuduh Nusra al-Enezi, rakyat tempatan didapati bersalah membakar khemah pada 2009 pada majlis perkahwinan bagi membalas dendam ke atas suaminya kerana berkahwin lain. Majoriti daripada 57 mangsa yang maut terdiri daripada wanita dan kanak-kanak. Ketika kejadian, Enezi yang baharu itu berusia 23 tahun, membaling petrol ke arah khemah yang penuh dengan tetamu, sebelum membakarnya dan ia disifatkan sebagai jenayah dahsyat di negara itu. Sementara itu, wanita warga negara Filipina dan Habsyah adalah amah yang disabit kesalahan membunuh majikan mereka dalam dua jenayah berasingan. Ketika ini ada 50 banduan yang sedang menunggu hukuman mati. - AFP