TAHUN LALU, Pentadbiran Angkasa dan Aeronautik Kebangsaan (NASA) mengesan sebuah objek yang berkemungkinan komet atau asteroid, menuju ke arah bumi. Agensi itu berkata, objek misteri itu akan melepasi bumi pada jarak kira-kira 51 juta kilometer pada 25 Februari depan. Namun seorang pakar teori konspirasi tampil dengan dakwaan yang lebih membimbangkan apabila meramalkan asteroid itu akan menghentam bumi pada 16 Februari serta mencetuskan tsunami besar. Objek asing itu dinamakan sebagai 2016 WF9 dan telah mengembara selama 4.9 tahun (mengikut kiraan tahun di bumi). Menurut dakwaan pakar astronomi dari Rusia, Dr Dyomin Damir Zakhrovich, objek itu dalam perjalanan menghala ke arah bumi. "Objek tersebut meninggalkan sistem Nibiru pada Oktober apabila sistem berkenaan mula berpusing mengikut arah lawan jam. "Sejak itu, NASA sedar bahawa objek itu akan menghentam bumi tetapi mereka enggan memberitahu perkara sebenar. "Jika ia menghempas bumi, banyak bandar akan munsah dan tsunami tercetus. Kita dalam bahaya," katanya. Berdasarkan kiraan NASA, objek misteri itu berukuran antara 500 meter hingga satu kilometer dan pakar teori percaya tarikan graviti bumi mempengaruhi pergerakan objek berkenaan. Bagaimanapun berdasarkan siasatan Mail Online, nama Dyomin Damir Zakharovich hanya muncul dalam Internet sejak beberapa bulan lalu dan mempunyai beberapa artikel berkaitan planet Nibiru.