NEW YORK: Presiden baharu Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bukan sahaja popular disebabkan dasar kontroversi yang diperjuangkannya, tetapi satu daripada daya tarikan yang menjadikannya terkenal adalah gaya rambut ahli perniagaan itu. Popularitinya semakin meningkat apabila bergelar Presiden tetapi ramai pihak tertanya-tanya sama ada rambut Trump itu adalah asli atau palsu. Bagi menjawab persoalan tersebut, doktor peribadi yang sudah berkhidmat sejak sekian lama untuk Trump, Harold N. Bornstein mendedahkan rahsia sebenar di sebalik rambut Presiden itu. Menurut Bornstein, Trump mengambil ubat yang dikenali sebagai Propecia yang digunakan untuk menghalang keguguran rambut dan mengelakkan kepalanya botak. Jelasnya, kaedah tersebut memiliki peratusan kejayaan sebanyak 90 peratus. Namun ujarnya, sebaik sahaja rawatan itu selesai, kaedah tersebut hanya bertahan selama enam bulan dan Trump boleh menerima kesan sampingan termasuk kekeliruan mental dan masalah seksual yang berkekalan. "Presiden juga mengambil antibiotik untuk mengatasi masalah kulit dan ubat bagi masalah kolestrol," katanya.