suria

Tolak Pembedahan Kerana 'Sayang' Parut

-foto Alyssa McDonald/Caters

SEORANG mangsa yang terselamat dalam kebakaran tetapi mukanya melecur teruk enggan melakukan pembedahan kerana sayangkan parut di wajahnya.

Ibu bapa Alyssa McDonald telah diberitahu untuk membuat persediaan urusan pengebumian selepas anak mereka yang  berusia dua tahun pada ketika itu melecur teruk dalam satu kejadian kebakaran.

Tetapi mereka membantah cakap doktor dan melakukan lebih 100 pembedahan, termasuk melakukan cantuman kulit, pemasangan mata dan bibir palsu dan serta pembinaan semula kening Alyssa.

Bagaimanapun, wanita dari Cincinnati yang kini berusia 25 tahun ini, sudah tidak menjalani pembedahan selama hampir satu dekad dan kini menganggap kecacatannya itu seperti berlian yang sangat berharga.

Guru jagaan harian itu berkata: Selepas dikejarkan ke hospital, saya koma, di mana ibu memberitahu bahawa kepala saya bengkak sepuluh kali ganda dari saiz biasa.

"Para doktor memberitahunya bahawa perkara terbaik untuk dilakukan adalah memanggil paderi dan bersedia untuk urusan pengebumian, kerana tidak ada cara lain untuk menyelamatkan saya."

Lebih 85 peratus wajah Alyssa berparut akibat peristiwa itu dan pembedahan yang dilakukan selepas kejadian tersebut.

-fotoAlyssa McDonald/Caters


Dia telah dipanggil 'raksasa' di sekolah dan berasa terhina apabila ada kanak-kanak yang menangis dan melarikan diri apabila melihatnya.

"Pada sambutan Halloween, kami pergi membeli gula-gula di kedai, di mana ramai kanak-kanak memakai kostum dan juruwang berfikir bahawa saya juga sedang memakai topeng Halloween," imbasnya.

"Dia (juruwang) memberitahu saya 'inilah topeng paling realistik yang pernah saya tengok', sebelum saya memberitahunya ia adalah wajah sebenar saya," katanya.

Tetapi selepas menghentikan semua jenis pembedahan pada usia 16 tahun, Alyssa perlahan-lahan belajar untuk mengasihi dirinya sendiri.

"Ia mengambil masa yang sangat lama untuk saya sampai ke tahap ini, tetapi saya sedar inilah diri saya sebenar.

"Tiada apa yang saya boleh lakukan, apa yang berlaku atau bagaimana wajah saya, hanya orang ramai yang dapat putuskan sama ada mahu menerima atau tidak, ia bukan masalah saya.

"Parut ini adalah aksesori saya yang paling penting dan menyerlahkan personaliti saya.

"Jika saya memakai pakaian cantik, ia umpama berlian pada diri saya.

"Saya tidak akan mengubah parut ini, saya sayangkannya, walaupun ada pembedahan ajaib untuk memberikan kulit baru, saya akan menolak."

"Saya sudah banyak menangis kerana tidak mahu berbeza dengan orang lain.

"Sebaik sahaja anda sedar tiada apa-apa yang boleh dilakukan, ia telah menjadi satu kehidupan," katanya.

-sumber metro uk

Artikel Berikut

Artikel Lain