WELLINGTON: Lebih 400 ikan paus terdampar di pantai New Zealand pada Jumaat, dengan sebahagian besarnya telah mati, kata Jabatan Pemuliharaan. Pengurus serantau jabatan itu, Andrew Lamason berkata, ia merupakan salah satu daripada jumlah terbesar ikan paus yang terdampar di New Zealand. Kira-kira 416 ikan paus terdampar di Farewell Spit di rantau Golden Bay di utara kepulauan itu. Lamason berkatam kira-kira 70 peratus ikan mati dan cubaan untuk membawa yang lain ke tengah laut pada waktu air pasang agak tipis. "Dengan jumlah kematian itu, anda dapat menjangkakan yang lain kemungkinan akan mengalami nasib serupa," katanya kepada Radio New Zealand. Seorang jurucakap jabatan itu berkata, terdapat banyak bangkai ikan paus di kawasan perairan cetek, sekali gus menyukarkan ikan lain yang masih hidup untuk dibawa ke laut dalam. "Ikan paus yang mati terapung di mana-mana, yang menghalang bagi ikan-ikan lain untuk ke tengah laut," katanya kepada AFP. - AFP