MANILA: Presiden Filipina, Rodrigo Duterte didakwa mengerahkan pasukan pembunuh khas untuk menghapuskan ramai orang termasuk seorang wartawan dan seorang wanita mengandung. Bekas pegawai polis yang terlibat dalam pasukan itu, Arthur Lascanas mendedahkan kekejaman yang dilakukan Duterte ketika beliau menjadi datuk bandar di sebuah bandar di selatan negara itu. Sambil ditemani tiga peguam hak asasi manusia, Lascanas tidak dapat menahan air matanya ketika menceritakan semula siri pembunuhan yang dilakukan di bandar Davoa untuk menghapuskan pengkritik Duterte atau memerangi jenayah. Malah katanya, dia terpaksa membunuh dua adik beradiknya yang terlibat dalam sindiket pengedaran dadah kerana setia kepada Duterte dan ganjaran yang diberikan. "Apabila kami menanam mayat mangsa atau membuang ke laut, kami sentiasa menerima bayaran daripada Duterte," katanya. Dalam kes paling kejam pernah dilakukannya, Lascanas berkata, dia bersama beberapa anggota polis lain menculik seorang suspek penculik dan turut membawa bersama isteri suspek yang sedang mengandung tujuh bulan, anak lelaki berusia lima tahun dan beberapa individu lain. "Duterte memberi isyarat kepada kami untuk meneruskan tugas dan menghapuskan mereka. "Ini kes paling kejam. Mereka membunuh seluruh keluarga di depan saya," katanya. Selain itu, dakwa Lascanas, Duterte turut membayar tiga juta peso (RM240,000) bagi tugas membunuh penyampai radio terkenal, Jun Pala pada 2003 kerana mengkritik beliau. Ini bukan kali pertama Duterte menerima dakwaan yang mengatakan beliau mengendalikan pasukan pembunuh sepanjang menjadi Datuk Bandar Davao selama lebih dua dekad. Malah ada dakwaan mengaitkan Duterte menggunakan taktik sama untuk memerangi ancaman dadah apabila beliau bergelar Presiden, sekali gus meragut beribu-ribu nyawa pesalah dadah. Duterte bagaimanapun menafikan kewujudan pasukan pembunuh di Davao tetapi mengakui pernah membunuh sendiri penjenayah dengan tujuan menjadi contoh kepada anggota polis.