BARCELONA: Telefon bimbit klasik Nokia 3310, akan dihasilkan dengan memiliki beberapa pertambahan ciri yang lebih baik berbanding edisi sebelumnya. Menurut laporan portal Metro, model terbaharu Nokia 3310 akan dilengkapi paparan skrin berwarna dan lebih ringan berbanding edisi yang yang dikeluarkan pada tahun 2000. Selain itu, model telefon berkenaan juga dihasilkan dengan bentuk yang lebih nipis tetapi ia tidak akan dikendalikan oleh sistem operasi Android. Malah paparan skrin berwarna yang digunakan tidak melibatkan resolusi tinggi kerana syarikat pengeluar, HMB Global mahu memastikan bater telefon itu tahan lama. Butiran terperinci Nokia 3310 akan diumumkan pada Kongres Telefon Bimbit Sedunia yang berlangsung di Barcelona, Sepanyol pada hujung minggu ini. Nokia 3310 pernah mencatat jualan sehingga 126 juta unit dan penghasilannya dihentikan pada 2005. Namun sejak beberapa bulan lalu, khabar angin mengatakan syarikat pemilik Nokia mahu menghasilkan semula produk popular itu.