suria

Meditasi Kubur Untuk Wanita Bercerai

Sesi meditasi kubur sedang dilaksanakan. - Sumber foto NetEase.

BEIJING: Sekumpulan wanita di China mengamalkan kaedah pelik untuk menangani tekanan akibat penceraian apabila melakukan sesi 'menenangkan diri' di dalam kubur.

Kisah mereka itu mendapat perhatian media apabila gambar 'upacara' tersebut yang dilakukan di bandar Chongqing tersebar dalam laman sosial.

Menurut laporan MailOnline, sesi meditasi kubur itu diilhamkan oleh Liu Taijie, wanita berusia 30 tahun yang pernah bercerai dengan suami dan kini membantu wanita lain untuk mengatasi tekanan rumah tangga.

Jelas laporan itu, Taijie berkahwin pada usia 19 tahun dan dikurniakan anak dua tahun kemudian, tetapi rumah tangganya hancur akibat penceraian.

Selepas bercerai, Taijie ditimpa nasib yang lebih malang apabila perniagaannya juga gagal.

Namun dia berjaya menempuh detik-detik sukar itu dan kini mahu memastikan golongan yang senasib dengannya memiliki kekuatan yang sama untuk meneruskan kehidupan.

SEORANG wanita menunjukkan reaksi tersendiri ketika menjalani upacara meditasi kubur. - Sumber Netshark.

"Saya tahu bagaimana perasaan ditinggalkan.

"Saya juga pernah berfikir untuk membunuh diri akibat penceraian tersebut," katanya.

Namun menerusi meditasi kubur, Taijie berkata, pelajarnya akan mendekati pengalaman mati.

"Kaedah ini membuatkan mereka berfikir semula bahawa banyak perkara belum dilakukan sepanjang kehidupan ini, sekali gus melupakan kisah silam dan memulakan hidup baharu," katanya.

Gambar di lokasi meditasi itu dilakukan menunjukkan beberapa wanita bebaring dalam kubur dengan beralaskan plastik sambil mereka menutup mata.

Bagaimanapun tidak dapat dipastikan tempoh yang diperlukan bagi setiap peserta berbaring sedemikian.

"Kegagalan bukan satu perkara yang menakutkan.

"Saya mahu semua wanita yang bercerai supaya bangkit sendiri dan mencapai tujuan hidup mereka," kata Taijie.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain