SANTIAGO: Hujan lebat sepanjang minggu lalu yang mengakibatkan berlaku banjir lumpur meragut sekurang-kurangnya tiga nyawa, manakala 19 lagi hilang di Chile. Perkhidmatan kecemasan Onemi berkata, hujan lebat menyebabkan sungai melimpah di lembah gunung berhampiran ibu negara Chile itu, menyebabkan 373 penduduk terkandas. Bekalan air minum bagi lebih satu juta isi rumah di ibu kota ini turut terjejas, manakala syarikat penyedia perkhidmatan itu, Aguas Andinas, berkata hujan menyukarkan kerja baik pulih. "Pasukan kecemasan berada di lokasi kejadian untuk cuba berhubung dengan penduduk yang terperangkap dan memulihkan semula bekalan air secepat mungkin," kata Presiden Chile, Michelle Bachelet di Twitter. Ia adalah banjir besar kedua melanda tengah Chile dalam tempoh dua tahun lalu. April tahun lalu, hujan lebat melanda Lembah San Jose de Maipo menyebabkan seorang penduduk terbunuh dan menutup operasi beberapa lombong tembaga terbesar di dunia. - Reuters