PENERBANGAN Thai Airways International (Thai) yang bersedia untuk berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Stockholm ke Bangkok terpaksa ditangguhkan selepas menerima ancaman bom. Naib Presiden Kawalan Keselamatan Penerbangan Thai, Leftenan Pratana Patanasiri berkata, pesawat TG963 untuk perjalanan Stockholm-Phuket-Bangkok itu mendapat arahan pihak keselamatan lapangan terbang itu untuk menangguhkan penerbangan. Katanya, juruterbang dimaklumkan mengenai ancaman itu ketika bersiap sedia untuk meninggalkan pangkalan. "Susulan itu, arahan dikeluarkan supaya segera memeriksa pesawat berkenaan," katanya. Sumber memberitahu, ancaman bom itu dibuat terhadap penerbangan itu menyebabkan juruterbang segera mematuhi prosedur keselamatan penerbangan dan lapangan terbang itu. Bagaimanapun, ia dibenarkan berlepas sebaik pemeriksaan selesai dan disahkan tiada bom di dalam pesawat itu.