PALM BEACH: Rumah Putih menggesa Kongres menyiasat dakwaan tanpa bukti Presiden Amerika Syarikat (AS)Donald Trump bahawa Barack Obama mengarahkan perbualan telefonnya diintip ketika kempen pilihan raya tahun lalu. Bagaimanapun, 24 jam selepas dakwaan mengejutkan Trump berhubung bekas presiden AS itu, pembantunya bergegas menjelaskan situasi, mengakui ia masih belum dibuktikan dan menggesa Kongres menyiasat. Memetik 'laporan' yang belum disahkan sebagai 'siasatan bermotif politik,' Setiausaha Rumah Putih Sean Spicer berkata, Trump menggesa Kongres untuk 'memastikan jika kuasa penyiasatan bahagian eksekutif dilanggar pada 2016.' Sementara itu, jurucakap Trump, Sarah Sanders menyokong komen berkenaan. "Jika perkara ini berlaku, ia akan menjadi penyalahgunaan kuasa terbesar dan melampaui batas," katanya kepada saluran ABC. Trump, yang mengadakan 'mesyuarat dan menerima panggilan' di padang golf miliknya di West Palm Beach, Florida tidak secara terbuka mengulas lanjut mengenai dakwaannya itu. Pada Sabtu, beliau menulis tweet: "Tergamak Presiden Obama mengintip perbualan telefon saya ketika proses pilihan raya amat suci. Ini adalah Nixon/Watergate (skandal). Lelaki teruk (atau tidak waras)!" Trump bagaimanapun tidak menyediakan bukti menyokong tuduhannya itu. Watergate adalah istilah generik digunakan dalam skandal yang menjatuhkan Presiden Richard Nixon pada 1974. Obama, menerusi seorang jurucakap menafikan dakwaan terbaru Trump itu sebagai 'tidak benar.' Presiden AS tidak boleh secara undang-undang mengarahkan intipan itu yang memerlukan kelulusan seorang hakim persekutuan dan alasan kukuh ia dilakukan. Pengarah Perisikan Nasional pentadbiran Obama, James Clapper memberitahu NBC, tiada 'aktiviti intipan diperkatakan ke atas presiden dipilih (Trump) ketika masih seorang calon atau terhadap kempennya.' -AFP