suria

Raja Salman Tambah Tiga Hari Cuti Di Bali

JAKARTA: Raja Salman Abdulaziz Al Saud dan rombongan pengiringnya melanjutkan tempoh percutian di Bali sehingga 12 Mac, tambahan tiga hari daripada jadual asal.

"Disahkan rombongan Raja Salman akan melanjutkan percutian di Bali sehingga 12 Mac ini, sebelum ini mereka sepatutnya berada di negara ini hingga 9 Mac 2017.

"Pengesahan itu berdasarkan jadual penerbangan yang dikehendaki," kata Timbalan pengarah Operasi dan Perkhidmatan PT JAS, Subiyono kepada media di Kuta, Bali seperti yang dipetik tribunnews.com pada Ahad.

PT JAS adalah syarikat yang dilantik Saudi Arabian Airlines (SV) untuk mengendalikan penerbangan Raja Salman di Indonesia.

Bagaimanapun kata Subiyono, dia tidak pasti sama ada Raja Salman akan turut pulang pada 12 Mac ini kerana ada kemungkinan jadual itu berubah.

"Kami hanya memenuhi permintaan mereka, bagaimanapun setakat ini semuanya belum muktamad," katanya.

Beliau menjelaskan, ada di antara ahli kumpulan itu yang berulang alik dari Arab Saudi ke Bali, manakala terdapat beberapa anggota rombongan yang baru tiba ke pulau itu.

Subiyono menambah, PT JAS telah mendaftarkan tiga penerbangan pada 11 Mac dan satu pada 12 Mac untuk SV dari Lapangan Terbang Antarabangsa Gusti Ngurah Rai di Bali,  bagaimanapun bilangannya tidak diketahui. - The Jakarta Post/Asia News Network

Raja Salman, Bali, PT JAS

Artikel Lain