suria

Awas! Anda Mungkin Sedang Diintip

GAMBAR HIASAN

SEOUL: Syarikat elektronik terkemuka, Samsung menyiasat dakwaan laman web yang menyiarkan dokumen rahsia, WikiLeaks tentang tindakan agensi perisikan menggunakan televisyen pintar firma itu untuk mengintip pengguna.

Berdasarkan pendedahan WikiLeaks pada Rabu, beberapa dokumen disiarkan menunjukkan peralatan godam yang digunakan Agensi Perisikan Pusat (CIA) dan agensi perisikan Britain, MI5 termasuk perisian Windows, Android dan iOS.

Selain itu, laporan tersebut mendakwa, perisian tersebut diubah untuk menjadikan televisyen pintar Samsung menjadi peralatan pengintipan untuk mendengar.

Projek pengintipan itu dinamakan sebagai Weeping Angel yang dipercayai didalangi oleh MI5.

Susulan pendedahan itu, Samsung melancarkan siasatan berhubung dakwaan tersebut.

"Melindungi hak privasi pengguna dan keselamatan produk kami adalah kepentingan utama di Samsung.

"Kami sedia maklum tentang laporan tersebut dan sedang menjalankan siasatan," jelas firma itu menerusi satu kenyataan pada Khamis.

Menurut WikiLeaks, satu kaedah penipuan dicipta iaitu membuatkan pengguna percaya bahawa televisyen pintar mereka sudah ditutup, tetapi sebenarnya masih merakamkan suara yang dihantar kepada CIA menerusi talian internet.

Sementara itu, syarikat gergasi Apple juga mengeluarkan kenyataan untuk menyuarakan kebimbangan terhadap pencerobohan privasi pengguna.

"Kami meminta semua pengguna untuk memuat turun perisian iOS baharu bagi memastikan mereka memiliki tahap keselamatan terkini," ujar Apple.

Syarikat Google yang mengendalikan perisian Adroid masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung perkara itu.

Samsung, IOS, Windows, Android, CIA, MI5, Wikileaks

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain