suria

Serangan Berganda Jika Ceroboh Kedaulatan - Pyongyang

GAMBAR fail bertarikh 31 Mac 2014 menunjukkan tentera Korea Selatan dan Amerika Syarikat menjalani latihan di Pohang.

PYONGYANG: Korea Utara pada Selasa mengancam untuk melancarkan serangan berganda sebagai tindak balas terhadap latihan ketenteraan bersama yang dijalankan oleh Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS).

Agensi berita rasmi negara itu, KCNA menerusi satu kenyataan berkata, jika dua negara bersekutu itu cuba menceroboh kedaulatan Korea Utara, Pyoangyang akan melancarkan serangan tanpa belas ihsan melalui serangan darat, udara dan laut.

Pyongyang turut memberi amaran kepada Seoul dan Washington yang kini menjalankan latihan bersama, bahawa kapal pengangkut pesawat dan beberapa aset strategik AS kini dalam sasaran Korea Utara.

Amaran itu dilaungkan selepas Korea Selatan dan AS memulakan latihan simulasi ketenteraan, Key Resolve pada Isnin dan dijangka berakhir pada 24 Mac ini selain latihan Foal Eagles yang bermula pada 1 Mac lalu sehingga akhir April.

Antara aset yang digunakan dalam latihan itu termasuk pesawat tempur F-35B dan kapal pengangkut pesawat berkuasa nuklear USS Carl Vinson yang dijangka tiba di Semenanjung Korea pada Rabu.

Pyongyang yang sering mengecam latihan bersama itu, pada 6 Mac lalu melancarkan empat peluru berpandu jarak sederhana ke perairan Laut Jepun sebagai amaran terhadap latihan Foal Eagle.

Susulan itu, AS membalas dengan menghantar sistem pertahanan peluru berpandu jenis THAAD ke Korea Selatan, sekali gus meningkatkan ketegangan antara kedua-dua negara.

Penempatan sistem pertahanan itu juga membangkitkan kemarahan sekutu Pyongyang, China yang menyifatkan sistem berkenaan boleh mengganggu senjata pertahanannya.

Artikel Berikut

Artikel Lain