WASHINGTON: Walaupun dikritik dan dikecam teruk sejak bergelar Presiden baharu Amerika Syarikat (AS), Donald Trump tetap menunaikan janjinya untuk mendermakan semua gaji kepada badan kebajikan pada hujung tahun ini. Jurucakap White House, Sean Spicer berkata pada Isnin, Trump menyerahkan tugas untuk mencari pihak yang layak menerima derma tersebut kepada jabatan media White House dan pihak akhbar yang sering mengkritiknya. "Presiden mahu mendermakan gajinya pada hujung tahun ini. "Beliau meminta anda menyalurkan idea untuk mendermakan wang tersebut," katanya. Presiden AS layak menerima gaji sebanyak AS$400,000 setahun (RM1.7 juta) dan Trump sebelum ini pernah menyuarakan hasrat untuk mendermakan gajinya kepada rakyat negara itu. Selain Trump, dua lagi Presiden AS, Hebert Hoover dan John F. Kennedy turut mendermakan gaji mereka untuk tujuan kebajikan. - AFP