suria

Kelly Anggap Insiden Diganggu Anak Ketika Temubual 'Kesilapan Penuh Humor'

VIDEO pakar politik Korea Selatan, Profesor Robert Kelly yang terganggu apabila dua anaknya meluru masuk ke bilik ketika sesi temubual sedang berlangsung dianggapkan sebagai 'kesilapan yang penuh humor'.

Video itu mendapat 84 juta tontonan menerusi laman Facebook BBC dengan hastag #BBCDad, malahan ia juga trending di Twitter selain berita mengenainya turut disiarkan media seluruh dunia.

Rakaman yang menjadi tular itu menunjukkan gelagat dua anaknya yang tiba-tiba muncul di lokasi ketika profesor sains politik di Universiti Kebangsaan Pusan, Busan sedang menjawab beberapa soalan mengenai presiden negara itu, Park Geun-hye yang dipecat selepas dikaitkan dengan skandal rasuah.

Anaknya, Marion, 4, dan James yang baharu berusia sembilan bulan meluru masuk ke dalam bilik semasa sesi temubual secara langsung sedang dijalankan dengan BBC.

Insiden itu disedari isteri Kelly, Kim Jung-a yang kemudian membawa keluar dua anaknya dari bilik tersebut.

Adegan isterinya yang dalam keadaan kelam kabut itu turut dirakamkan dan menjadi tular di laman media sosial.

Menurut Kelly, kebiasaannya dia akan mengunci pintu bilik bacaan, tetapi terlupa berbuat demikian pada hari kejadian.

Memberitahu Wall Street Journal, katanya, dia dapat melihat kelibat anak sulungnya yang memakai baju kuning itu di skrin ketika kanak-kanak itu meluru masuk.

Profesor berusia 44 tahun mengakui cuba sebaik mungkin untuk menamatkan sesi temubual itu apabila anak keduanya yang baru berusia sembilan bulan pula muncul.

"Ketika itulah saya sedar semuanya sudah berakhir," katanya yang berasal dari Cleveland, Ohio itu.

Kata Kelly lagi, insiden itu mencetuskan perasaan bercampur antara terkejut, malu dan gembira, selain rasa kecintaan dan kasih sayang terhadap keluarga dan kerjayanya.

Reaksi dan maklumbalas di media sosial yang kebanyakannya positif dan hairan dengan insiden itu menyebabkan dia terpaksa memadam Twitter dan Facebook. Telefon bimbit Kelly dibiarkan pada mode pesawat sahaja.

Kata Jung-a pula, situasi itu pernah beberapa kali berlaku tetapi ia pertama kali terjadi ketika suaminya sedang ditemubual secara langsung.


Kelly, Korea Utara

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain